Ahad, 17 Mac 2013

Begitu Hebat Cinta Allah SWT


Begitu hebat cinta Allah, tiada siapa dapat menyangkal, hadir kepada sesiapa tanpa mengira siapa dia. Samada orang yang banyak dosanya ataupun yang jahil agamanya. Bila mula aku kenal cintaNya, kasihNya, aku lupa. Aku bukanlah seorang yang sangat terdidik tinggi agamanya. Apa yang aku ingat aku sangat terdidik tinggi dari segi adab dan adat sahaja.

Sebahagian ilmu tentang adab dan adat itulah yang membawa aku kenal Islam dan kenal Allah.

Dari kecil aku Cuma tahu agama aku Islam dan tuhan aku Allah. Tetapi aku tak banyak tahu mengenai Islam, aku tak pandai mengaji, tak pandai baca tulisan jawi. Saat kawan-kawan dah sampai Iqra 6, aku masih lagi terkapai-kapai dalam Iqra 1 dan 2. Saat kawan-kawan dan khatam al-Quran, aku masih lagi terkapai-kapai nak habiskan Muqadam.

Dari situ timbul rasa malu yang amat sangat sebab aku bukan murid yang lemah dalam pelajaran, aku antara murid target cemerlang UPSR di sekolah. Semua subjek aku pernah jadi champion. Kalau dalam kelas nombor exam yang aku dapat antara 1 atau 2 je, daripada tahun 1 lagi hingga tahun 6. Walaupun hanya sekolah kampung yang hanya ada satu kelas je, aku tetap rasa bangga.

Disebalik kebanggaan itulah semua orang tak tau yang hati aku ni melonjak-lonjak hairan dan pelik kenapa dalam bab Pendidikan Islam aku sangat lemah sedangkan aku orang Islam. Dah masuk tahun 6, aku masih tergagap-gagap lagi nak baca jawi dan Quran. Sedangkan kawan-kawan lain yang tak cemerlang di sekolah pun lebih cemerlang dari aku dalam bab jawi dan Quran.

Aku malu sangat. Aku bukan tak pergi sekolah rakyat, tapi aku agak malas nak pergi kadang-kadang sebab aku malu, dekat sekolah rakyat tahap aku sangat rendah. Bila aku malas nak pergi dan jarang-jarang pergi, tahap kebolehan jawi dan Quran aku makin teruk. Aku pergi jugak mengaji malam tapi aku tetap tak pandai mengeja, apa yang aku tahu masa tu aku dengar ustazah baca dan hafal je, bila suruh aku baca ayat lain sendiri-sendiri, aku tetap tak tau.

Aku betul-betul putus asa, sampaikan aku rasa aku takkan pandai langsung baca jawi dan Quran sampai bila-bila. Satu soalan kurang cerdik yang aku pernah tanyakan pada mak “Mak, rasa-rasanya sampai bila-bila ke ... takkan pandai baca Quran?”, mak jawab “ish takdelah, dah besar nanti pandailah”. Masa ni umur aku 11 atau 12 tahun.

Bukan salah keluarga aku dan bukan salah sesiapa. Rupa-rupanya Allah nak aku cari dan terus mencari sampailah aku jumpa Dia, kenal Dia. Mungkin ada yang pandai mengaji Quran melalui latihan dan didikan yang telah disediakan dengan sangat sempurna. Tapi aku, Allah nak aku cari sendiri. Nak aku belajar semuanya dari kesusahan supaya aku lebih menghargai ilmu yang aku dapat. Dan yang paling penting aku tidak riak dengan ilmu yang Dia bagi.

Melalui ketidaksempurnaan  yang aku rasa, aku cari, terus cari. Sampailah umur aku menginjak 20 tahun. Aku sambung belajar. Masa ni rasa malu aku bertambah-tambah walaupun tiada siapa pun tahu. Jawi aku dah boleh baca sikit2 tapi Quran masih lagi tak boleh. Banyak tanda-tanda yang aku tak faham nak baca macam mana. Surah pertama yang aku lancar baca, surah Yassin. Macam-macam cara aku belajar, guna cd dan kaset paling utama. Kemudian, nak lebih jelas aku dengar ustaz baca masa bulan puasa kat surau, aku ikut, aku fokuskan pada bahagian2 yang aku kurang jelas.

Dari situ aku mula slow2 baca surah lain, dah canggih sikit aku belajar guna digital Quran. Masa cuti semester memang aku belajar sungguh-sungguh. Walaupun aku tahu, aku sepatutnya kena berguru dalam bab ni tapi dalam keadaan aku masa ni, hanya ni je yang aku termampu nak buat. Suatu hari nanti memang aku teringin nak berguru, tapi masa ni fokus aku hanya untuk tahu baca je. Asas nak baca dulu. Bab tajwid memang aku letak tepi dulu, sebab masalah asas aku tak tahu baca. Memang tergagap-gagap, sangat susah sampai aku pernah berdoa pada Allah yang aku teringin sangat nak pandai baca Quran. Aku rasa diri aku teruk sangat sebab tak pandai ilmu tu.

Dalam kesusahan tu memang aku hampir-hampir rasa putus asa. Masa bulan Ramadhan semester berikutnya, setiap kelas diwajibkan buat tadarus, setiap orang kena baca beberapa ayat. Aku la orang yang paling menggelabah dalam diam. Dalam perjalanan balik dari surau aku berhenti di tengah-tengah padang asrama dan aku berdoa, “ya Allah tolong aku, ya Allah tolong aku, aku tak pandai mengaji, aku takut sangat ni” aku menangis saat ni. Esoknya aku rasa taknak pergi surau tapi aku pergi jugak sebab wajib, dalam hati aku tawakal je. Sampai je sana, Allah tolong aku, keadaan aku dipermudahkan, Dia tutup aib aku, aku dapat ayat yang aku pernah baca, hilang seluruh ketakutan aku. Tapi aku tetap rasa nak menangis sebab Allah tolong aku, Dia dengar doa aku, dalam hati tak berhenti aku berterima kasih pada Allah.

Dari situlah slow-slow aku mula nak kenal lebih dekat dan lebih rapat dengan Allah. Aku ni  bukan siapa-siapa, bukan hambaNya yang sangat baik, solat pun tak berapa nk betul dan cukup. Dosa-dosa lain lagi. Tapi dia pandang aku, Dia dengar doa aku dan Dia tolong aku. Aku jadi nak lebih tahu kenapa Dia sangat baik pada aku. Aku pun nak jadi baik untuk Dia jugak. Dari sinilah bermulanya aku lebih lancar baca Quran dan lebih berminat untuk mendalami Islam. Dari sini jugak aku lebih kenal Rasulullah S.A.W. Mula meletakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kerisauan yang sekian lama aku tanggung mulai hilang iaitu malu kerana tidak pandai membaca al-Quran.

Apabila kerisauan itu mula hilang. Pelbagai dugaan hidup pula mula mendatang. Mengajar aku lebih mengenal kasih sayang dan cinta Allah. Dia mengajar aku langkah demi langkah dalam kehidupan pula, menuju syurga bertemuNya mungkin, In shaa Allah. Dia datangkan dugaan yang sangat berat setelah aku benar-benar kenal Dia. Kenapa? Untuk mengukuhkan lagi akidah dan iman aku yang sangat lemah. Aku kata kenal Dia tetapi sejauh mana aku beriman. Mana mungkin aku tinggalkan Engkau ya Allah, sedangkan Engkau sentiasa bersama-sama aku walaupun di saat aku tidak mengenalMu. Inikan pula setelah mengenalMu dan merasai kasih, sayang, cinta, rahmat, berkat dan redhaMu ya Allah.

Ampunkan aku ya Allah.